Wednesday, October 14, 2009

AKAK21

Dapatan Hasil daripada kajian literature yang saya lihat ke atas Amalan Kemahiran Abad ke 21(AKAK 21) dalam sistem pendidikan di Brunai Darul Salam dan Singapura serta senario abad ke 21.


Pengertian Pendidikan berasaskan AKAK 21

Pendidikan adalah apa yang tertinggal, setelah seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah. Pendidikan bukan setakat mengisi ilmu ke dalam kepala murid seperti kita mengisikan air ke dalam baldi. Sebaliknya, pendidikan seharusnya mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (ASK-Attitude, Skill and Knowledge) untuk melakukan sesuatu perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah dan semakin menjadi ‘rata’ (The World is Flat, Thomas L. Friedman).

Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On Education For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus berasaskan empat tonggak, iaitu:
Learning to know (belajar untuk tahu)
Learning to do (belajar untuk buat)
Learning to live together (belajar untuk hidup bersama)
Learning to be (belajar untuk menjadi)

Belajar untuk tahu - membantu seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang yang sesuai dengan lebih jitu. Ilmu yang diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan ilmu itu.

Belajar untuk buat - merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan, menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.

Belajar untuk hidup bersama- memupukan persefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada keperluan saling bergantung (interdependence), pengurusan konflik, saling menghormati nilai-nilai pluralistik dan mementingkan keharmonian.

Belajar untuk menjadi - membangunkan modal insan yang mempunyai keperibadian yang halus, boleh bertindak dengan lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau pertimbangan yang lebih adil, rasional dan jitu, mempunyai tanggungjawab kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu seseorang itu berkembang dengan optimum.

Amalan Kemahiran Abad ke 21(AKAK 21) dalam sistem pendidikan di Brunai Darul Salam

Kementerian Pendidikan Brunai telah melaksanakan satu sistem pendidikan, iaitu Sistem Pendidikan Negara Abad 21 (SPN21). Melalui SPN21, Kementerian Pendidikan Brunai komited untuk menyediakan sistem pendidikan yang akan mempersiapkan para belia di negara Brunai dengan peranan-peranan masa depan sebagai warga yang berkebolehan, kreatif dan pemikir dengan menyediakan mereka pelbagai laluan ke arah pendidikan tinggi dan pekerjaan. SPN21 juga berkemampuan untuk memberikan yang terbaik bagi pembangunan bangsa dan negara dalam semua keadaan yang dibawa bersama oleh proses globalisasi.

SPN21 bertujuan untuk menjadikan pendidikan vokasional dan teknikal sebahagian daripada yang utama dalam sistem pendidikan. Pendidikan teknikal yang telah dikenal pasti sebagai satu komponen yang sama pentingnya dalam sistem pendidikan telah mengguna pakai rangka kerja kelayakan 3 peringkat. Rangka kerja baru ini akan memastikan kelancaran perkembangan para pelajar dalam sektor pendidikan vokasional dan teknikal. Para pelajar akan menjalani jangka masa pembelajaran yang bersesuaian untuk memperolehi pengetahuan lebih mendalam dan kecekapan di peringkat tinggi.

Program-program teknikal yang baru di bawah SPN21 akan bermula tahun 2012. Kurikulum program pendidikan teknikal memasukkan pembangunan kemahiran-kemahiran abad 21, yang akan membantu para pelajar untuk mengembangkan pe- ngetahuan dan pemahaman, dengan sikap-sikap dan nilai-nilai yang betul bagi memastikan pembangunan holistik setiap individu, dan di akhir laluan, seorang belia yang boleh diambil bekerja.

Dengan memperolehi kemahiran bahasa, mengembangkan keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan inovatif, memperluaskan kemahiran-kemahiran ICT dan menerima amalan-amalan terbaik dalam pendidikan, kerajaan Brunai yakin akan mencapai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, aman dan makmur dan akan menyumbang kepada pembangunan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Membuat perubahan dalam sistem penilaian; mewujudkan pelbagai ‘pathways’, memantapkan penguasaan bahasa Inggeris; meningkatkan prestasi pelajar dalam Matematik dan Sains serta mengekalkan dan meningkatkan prestasi pelajar dalam Bahasa Melayu. Pentingnya bagi kementeriannya untuk mempertingkatkan pencapaian penuntut bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, kerana jumlah penuntut yang berjaya dalam bidang ini masih lagi kecil dan negara ini memerlukan banyak lagi penuntut menceburinya serta memperoleh kecemerlangan dalam mata-mata pelajaran tersebut. Sehubungan dengan itu kerajaan Brunai mendapatkan khidmat nasihat Pakar-pakar Majlis bagi Kajian Pendidikan Australia (ACER) untuk membuat kajian ke atas pencapaian para pelajar negara ini dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari peringkat awal persekolahan ke peringkat menengah.
Perubahan-perubahan yang dibuat di bawah SPN 21 berkeupayaan mencipta sebuah sistem pendidikan yang mengejar kecemerlangan bagi setiap warga Brunei. Satu sistem di mana pemmbangun negara telah membuka pintu- pintu pembelajaran kepada semua dan memastikan kehidupan yang lebih baik untuk semua. Satu sistem di mana, setiap pelajar berhak bercita-cita untuk memperoleh pencapaian yang tertinggi.

Amalan Kemahiran Abad ke 21(AKAK 21) dalam sistem pendidikan di Singapura

Dalam sistem pendidikan di Singapura Kementerian Pendidikan ingin membantu semua muridnya menemukan dan menggunakan bakat mereka sendiri dengan sebaik-baiknya dan merealisasikan potensi mereka sepenuhnya serta mengembangkan minat
mereka terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Tujuan Amalan Kemahiran Abad ke 21(AKAK 21) dalam sistem pendidikan di Singapura

Menyediakan peluang yang terbaik bagi pelajar untuk membangunkan kemahiran, watak dan nilai-nilai yang akan membolehkan mereka terus berjaya dan memajukan Singapura ke arah masa hadapan yang telah digambarkan.

Memberi murid-murid lebih banyak pilihan untuk memenuhi minat dan cara pembelajaran mereka yang berbeza. Apabila mereka dapat memilih apa dan bagaimana mereka belajar, mereka akan terangsang untuk memiliki proses dan hasil pembelajaran mereka.

Menyediakan dasar pendidikan yang luas untuk memastikan agar murid-murid
dapat berkembang secara menyeluruh di dalam dan di luar bilik darjah.

Memupuk kemahiran yang berbeza yang diperlukan pada pelajar untuk masa hadapan. Berusaha supaya setiap pelajar dapat menemukan bakatnya, membesar dan meninggalkan bangku sekolah dengan berasa yakin akan kebolehan mereka. Kita menggalakkan mereka mengejar minat masing-masing dan mengasah bakat yang berbeza dalam bidang akademik, kesenian dan sukan.

Membentuk rakyat muda Singapura yang bersikap ingin tahu, mencari jawapan serta sanggup berfikir, menyelesaikan masalah dengan cara baharu dan juga menjanakan peluang-peluang baharu untuk masa hadapan. Juga mahu membantu pelajar memiliki nilai-nilai sihat supaya mereka berwatak teguh dan mampu menangkis gangguan hidup yang tidak dapat dielakkan tanpa berasa putus asa, mereka juga harus bersedia untuk bekerja keras supaya dapat mencapai impian mereka.

Pelaksanaan AKAK 21 di Singapura

Sekolah-sekolah yang ada sekarang telah diberi lebih autonomi dan sumber-sumber untuk mengembangkan keupayaan dan bidang kecemerlangan masing-masing, sama ada dalam bidang pembelajaran atau pun dalam kegiatan-kegiatan ko-kurikulum dan pembangunan watak. Keperluan muridmurid yang berbeza akan dipenuhi jenis-jenis sekolah yang banyak dan program pendidikan yang lebih luas.
Sekolah-sekolah akan dibenarkan menawarkan subjek-subjek Peringkat ‘O’ yang baru serta modul-modul elektif. Beberapa sekolah akan juga menawarkan kurikulum dan peperiksaan yang berbeza, seperti International Baccalaureate.

Sekolah-sekolah juga mempunyai fleksibiliti untuk memindahkan murid-murid ke kursus lain jika mereka dapat meraih faedah daripada pemindahan tersebut. Sekolah-sekolah juga boleh membenarkan murid-murid terbaik dalam Normal (Akademik) naik ke Menengah 5 tanpa menduduki peperiksaan Peringkat ‘N’. Di peringkat sekolah rendah pula, aliran-aliran EM1 dan EM2 telah digabungkan, dan sekolah-sekolah rendah diberi autonomi untuk menyerapkan murid-murid EM3 mereka ke dalam kelaskelas
lain bagi lain-lain mata pelajaran.

Kegiatan-kegiatan ko-kurikulum telah diluaskan untuk mengiktiraf dan memberi
penghargaan terhadap kegiatan-kegiatan yang dimulakan murid serta kegiatankegiatan
kemasyarakatan. Ini juga akan menggalakkan murid-murid menyertai kegiatan-kegiatan lasak sebagai kegiatan ko-kurikulum kedua mereka.

Sekolah-sekolah kini menyediakan lebih banyak peluang bagi pembangunan watak murid-murid dan bagi muridmurid mengembangkan kemahiran berinovasi.

Pengajaran akan difokuskan kepada mengembangkan kefahaman, berfikir secara kritikal dan kebolehan bertanya dan mendapatkan jawapan serta mencari jalan penyelesaian.

Kaedah peperiksaan dan penilaian akan dikaji semula, untuk mengurangkan penghafalan dan menggalakkan pembelajaran kendiri yang bersifat kajian.